16 maut nahas kereta api

DHAKA, 12 NOV – Dua kereta api yang penuh sesak bertembung di Bangladesh hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencedera hampir 60 yang lain, kata polis.

Tiga gerabak terkeluar dari landasan di stesen Mondobhag di bandar Kasba apabila sebuah kereta api menuju Dhaka dan sebuah lokomotif dalam perjalanan ke Chittagong berlanggar.

“Sekurang-kurangnya 16 orang maut. Dan 58 lagi cedera. Kami telah menghantar mangsa cedera ke hospital berlainan di rantau,’ beritahu ketua polis tempatan Anisur Rahman kepada AFP. Kren dan peralatan lain dibawa masuk untuk menyelamat penumpang yang terperangkap, kebanyakan mereka sedang tidur apabila nahas berlaku pada awal pagi.

“Terdapat bunyi yang kuat, kemudian saya ternampak kereta api terputus dua,” beritahu seorang penumpang cedera kepada TV Somoy.

Hayat ud Doula Khan, pegawai kerajaan di daerah itu, berkata kereta api Turna Nishitha ke Dhaka berlanggar dengan Udayan Ekspres pada kira-kira pukul 3 pagi ketika Udaya sedang memasuki stesen Mondobhog. Khan memberitahu AFP Turna Nishitha patut menunggu di luar stesen untuk membenarkan kereta api lain melaluinya dan satu siasatan telah dilancarkan. Seorang pegawai kereta api Bangladesh memberitahu wartawan isyarat rosak mungkin dipersalahkan.

“Tiga gerabak rosak teruk dan mangsa adalah daripada gerabak berkenaan,” kata Khan, menambah perkhidmatan kereta dari Dhaka telah dihentikan disebabkan kemalangan itu. – AFP

Orang ramai mengerumuni gerabak yang rosak teruk selepas dua kereta api berlanggar di daerah Brahmanbaria, 82 kilometer dari timur Dhaka, Bangladesh, kelmarin. – AP