16 mayat mangsa di Papua ditemui

WAMENA, 6 Dis – Pasukan Keselamatan Indonesia berjaya menemui 16 mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai dipercayai dilakukan oleh pemberontak di wilayah Papua.

Kesemua mangsa terbabit disyaki pekerja pembinaan dan ia adalah insiden keganasan paling buruk di wilayah itu sejak pemberontakan dilancarkan.

“Mayat akan dibawa ke Timika dari daerah Nduga, iaitu kawasan pergunungan di pedalaman, lokasi serangan itu berlaku pada Ahad lalu.

“Hasil maklumat terbaharu yang kami peroleh, sebanyak 16 mayat sudah ditemui,” kata komander tentera tempatan, Binsar Panjaitan kepada wartawan di Papua.

Bagaimanapun, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti dan pihak tentera tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian pembunuhan itu. Namun, laporan awal saksi mengatakan sekurang-kurangnya 19 maut dalam pembunuhan itu, termasuk ditembak dan akibat dikelar pada bahagian leher. – AFP