Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    16 mualaf berentap dalam musabaqah senegara

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Seramai 16 orang mualaf telah memperdengarkan bacaan dalam Musabaqah Murattal Al-Quran dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim berserta Pemahamannya bagi Mualaf Senegara sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1444 yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kampung Pulaie, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Pertandingan berkenaan menyaksikan Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi dan Hajah Norainie binti Abdullah @ Kantat anak Sagai masing-masing muncul juara lelaki dan perempuan bagi Kategori Murattal Al-Quran.

    Sementara naib johan disandang oleh Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf @ Eddy Asrul bin Asut dan Dayang Siti Nur Afiqah binti Muhammad Asnawi @ Bong Yick Mei.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan piala pusingan kepada juara Kategori Murattal Al-Quran.

    Tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Muhammad Nur Aisamuddin bin Muhammad Hanafi @ Dines anak Uset dan Dayang Nurhazimah binti Abdullah Luas @ Nurhazimah binti Luas.

    Bagi Kategori Menghafaz Ayat-ayat Lazim berserta Pemahamannya, Haji Muhammad Nabil Hakim bin Haji Muhammad Nabil Hafizzuddin @ Alexson anak Ampeling, dan Dayang Siti Nur Syahirah binti Muhd Asnawi @ Bong Yick Hwan @ Vanessa Anne Bong masing-masing muncul johan bagi peserta lelaki dan perempuan.

    Naib johan ialah Awang Muhammad Dzulkarnain Hamzah bin Abdullah Tingub @ Sumardy anak Tingub, dan Dayang Nur Iffah Syazwanah binti Abdul Rahman sementara itu, tempat ketiga disandang oleh Awang Muhd Irfan Hamizan bin Abdul Rahim @ Arilwatan anak Tawan, dan Dayang Nur Raihana binti Muhammad Hanafi @ Nurahiza anak Uset.

    Johan bagi kedua-dua kategori tersebut membawa pulang piala pusingan sumbangan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama (bagi Kategori Murattal Al-Quran) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (Kategori Menghafaz Ayat-ayat Lazim berserta Pemahamannya), wang tunai $1,000, Akaun Tekad Haji sebanyak $500 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan sijil penghargaan.

    Manakala itu, naib johan dan tempat ketiga membawa pulang piala iringan dan wang tunai masing-masing $700 dan $500 berserta sijil penghargaan.

    Pertandingan berkenaan menyaksikan empat orang peserta lelaki dan empat orang peserta perempuan bertanding bagi Kategori Murattal Al-Quran, manakala empat peserta lelaki dan empat peserta perempuan dalam Kategori Menghafaz Ayat-ayat Lazim berserta Pemahamannya.

    Para peserta merupakan johan musabaqah di peringkat daerah masing-masing dan mara untuk bertanding di musabaqah senegara.

    Musabaqah merupakan salah satu acara yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf), PDI.

    Antara objektif utamanya adalah untuk menggalakkan para mualaf agar sentiasa membaca Al-Quran dan memahami bacaan Al-Quran dengan lebih mendalam.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...