16 pasukan rebut Piala FA DST

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Sebanyak 16 buah pasukan akan menyertai Piala FA Brunei DST 2018/2019 anjuran Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), yang akan memulakan tirainya pada 25 Januari depan di Kompleks  Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Sehubungan itu, majlis pengundian dan taklimat berkaitan Peraturan dan Undang-undang Am Perlawanan bagi kejohanan itu telah dilangsungkan di  Dewan Serba Guna, Rumah  NFABD, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan pengundian sekali gus menyampaikan taklimat kepada para pengurus pasukan ialah Pemangku Pengarah pertandingan, Awang Metussin bin Sumpong dan Pengurus Perlesenan NFABD, Awang Shahnon bin Salleh.

Antara pasukan yang terlibat pada kejohanan itu ialah Pasukan Rimba Star FC, Seri Wira FC, DPMM FC, Rainbow FC, Panchor Murai FC, Tabuan Muda, Jerudong FC, BSRC FT, MS ABDB, Indera SC, Najip-I Team, MS PDB, IKLS FC, Wijaya FC, Kasuka FC, Kota Ranger FC dan Setia Perdana. Ketika ini, pasukan-pasukan itu turut bersaing dalam Liga Perdana Brunei DST dan Liga Super Brunei DST.

Manakala, tempat bagi perlawanan Piala FA Brunei DST kali ini akan diadakan di tiga buah tempat iaitu Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Kompleks Sukan Berakas dan Stadium Mini Jerudong.

Pada perlawanan pembukaan akan menyaksikan pertembungan antara Pasukan Rimba Star FC dengan Pasukan Seri Wira FC yang dijadualkan bermula jam 8:15 malam.

Antara yang hadir pada majlis pengundian dan penyampaian taklimat mengenai Piala FA Brunei DST 2018/2019 yang diadakan di Dewan Serba Guna, Rumah NFABD, kelmarin.