Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Seramai 16 pasukan telah menyertai Kejohanan Badminton Veteran bagi pengguna Dewan Kemasyarakatan Kampong Parit, kelmarin.
Kejohanan yang diadakan bermula dari 13 Februari hingga 26 April itu menyaksikan pasukan beregu veteran bertanding untuk mencari juara bagi tahun ini.
Pada peringkat akhir semalam telah menyaksikan perlawanan penentuan di antara pasangan Abang Hadzman dan Haji Kamirul Azman bertemu dengan pasangan Haji Abdullah dan Sabaraya di Dewan Kemasyarakatan Kampung Parit di Pengkalan Batu.
Dalam perlawanan itu, Haji Abdullah dan Sabaraya berjaya menumpaskan pasukan pasangan Abang Hadzman dan Haji Kamirul. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Haji Ali bin Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Sementara dalam Kategori Badminton Beregu, Haji Zakaria dan Haji Sahir muncul juara selepas berjaya menewaskan Awang Wahab dan Pengiran Zulkifli. Manakala dalam kategori Super Series Beregu pula dimenangi oleh Haji Abu Yamin dan Awang Hassan selepas mengalahkan pasangan Haji Ismail dan Haji Jahri.
Kejohanan Badminton Veteran ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara para pemain, di samping dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat.
