16 pelajar khatam dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Seramai 16 pelajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) yang terdiri dari enam lelaki dan sembilan perempuan, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.

Pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil khatam dan merenjis minyak wangi kepada peserta yang diraikan dengan diikuti oleh ibu bapa dan penjaga pelajar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis sebelum bacaan surah-surah lazim oleh peserta khatam.

Bacaan takhtim oleh tenaga pengajar menyerikan lagi majlis tersebut manakala Doa Khatam dibacakan oleh Awang Mohammad Aiman bin Aminuddin diikuti dengan laungan Dikir Asyraqal oleh Muslimah MRSB.

Majlis ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam MRSB, Awang Muhammad Hadiudin bin Haji Jali.

Antara pelajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang diraikan pada majlis tersebut.