Oleh Hajah Saemah Kepli
TUTONG, 18 Sept – Rombongan seramai 16 orang pelajar Institusi Kejuruteraan dan Teknologi – Universiti Teknologi Brunei telah mengadakan lawatan teknikal ke Stesen Jana Kuasa Bukit Panggal (BPPS) Tutong, baru-baru ini.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan para pelajar, selain untuk melihat secara lebih dekat operasi stesen berkenaan apabila mereka turut berpeluang dibawa melawat kawasan loji.
Semasa ketibaan, rombongan telah mendengar taklimat ringkas mengenai keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (HSE) dan juga mengenai operasi serta fungsi Stesen Jana Kuasa Bukit Panggal yang disampaikan oleh Ketua HSE, Haji Suhaimi bin Haji Amat.

Selepas mendengarkan taklimat, para pelajar juga diberikan peluang untuk mengetengahkan soalan dalam sesi soal jawab sebelum mereka dibawa meninjau ke kawasan loji antaranya kawasan rawatan air, chemist room, kawasan turbin gas, penjana stim pemulihan haba, penjana stim, kondenser sejuk udara, bilik kawalan dan kawasan suis.
Lawatan itu diakhiri dengan sesi bergambar ramai rombongan pelajar bersama dengan pegawai-pegawai BPPS.