Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Seramai 16 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyahut cabaran dan berjaya menamatkan latihan kemahiran asas berkayak di laut dari Kompleks Sukan Air Serasa menuju ke Pulau Bedukang sejauh 5 kilometer (km), baru-baru ini.
Latihan pengenalan kemahiran asas berkayak anjuran Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA itu bertujuan bagi memastikan ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA dapat mempelajari teknik ketika mengendalikan kayak dengan lebih bersistematik dan terperinci, berkeyakinan terutama mahir dalam kegiatan aktiviti air.
Semasa kegiatan latihan kayak dijalankan, ahli-ahli telah dibimbing oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman dan diiktiraf dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Ahli-ahli pengakap juga telah diberikan penerangan ketika mengendalikan kayak dengan betul, teknik mendayung dan mengatasi situasi ketika kayak terbalik.
Jurulatih Pasukan Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak yang juga selaku Pesuruhjaya Latihan Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, berharap dengan melakukan aktiviti berkenaan, ahli-ahli baharu akan lebih berkeyakinan dalam membuat sesuatu aktiviti yang mencabar fizikal dan mental, bekerjasama antara satu sama lain terutama dalam melibatkan kegiatan air.
Di samping itu, jurulatih-jurulatih yang berkemahiran dalam bidang itu akan dapat memberikan ilmu-ilmu kemahiran ketika mengendalikan kayak kepada ahli-ahli Pengakap Kelana yang mengikuti latihan itu.
Kegiatan aktiviti mencabar terutama berkayak adalah sebahagian daripada kehendak dan kemahiran bagi mendapatkan Lencana Cabaran dalam Skim Anugerah Pengakap Kelana.
(Klik di sini untuk berita lanjut)