16,000 peminat saksikan perlawanan Derby Belgrade

BELGRADE, 12 JUN – Kira-kira 16,000 peminat menghadiri kemenangan perlawanan Partizan ke atas Red Star semalam sebagai tanda terakhir bahawa bola sepak mula menuju ke arah normal baharu berikutan wabak COVID-19.

Kerajaan Serbia telah melonggarkan peraturan sekatan dan awal bulan ini kerajaan telah mengumumkan bahawa perjumpaan terbuka dengan jumlah orang yang tidak terhad akan dibenarkan.

Tetapi liputan dari RTS tidak menunjukkan tanda-tanda orang ramai mengikut garis panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh kerajaan ketika Partizan berjaya menewaskan musuh tradisi Red Star 1-0 dalam kejohanan separuh akhir Piala Serbia.

Hungary menjadi negara Eropah yang pertama yang membuka semula stadium kepada penyokong dua minggu lalu, walaupun dengan kapasiti yang sangat terhad kerana peraturan yang diarahkan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Belarus adalah satu-satu negara dikecualikan semasa wabak dengan meneruskan perlawanan bola sepak bersama penonton, negara itu tidak pernah menutup pusat latihan dengan mengenakan sekatan atau menghentikan bola sepak sementara sebahagian besar negara Eropah lain dikenakan perintah berkurung secara menyeluruh.

Bola sepak liga Serbia disambung semula pada 29 Mei lalu, pada mulanya perlawanan diadakan di belakang pintu tertutup, sebelum kerajaan melonggarkan sekatan. – AFP

Para anggota keselamatan berdiri di depan penyokong Red Star yang menyalakan api semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Serbia antara FK Partizan Belgrade dan Red Star Belgrade (FK Crvena Zvezda) di Stadium Partizan di Belgrade, semalam ketika acara sukan disambung semula di negara itu. – AFP