Lima pemain Red Star positif COVID-19 selepas ribuan saksikan perlawanan

BELGRADE, 22 JUN – Lima pemain dari kelab Serbia, Red Star Belgrade telah disahkan positif COVID-19 setelah bermain beberapa perlawanan yang dihadiri oleh ribuan orang, kata kelab itu semalam.

Pengumuman itu dibuat 12 hari selepas Red Star menghadapi kelab saingan bandar mereka, Partizan Belgrade di hadapan sekitar 16,000 orang penonton, perhimpunan terbesar di Eropah sejak berlakunya wabak ini.

Kerajaan Serbia telah melonggarkan peraturan sekatan dan awal bulan ini, ia mengumumkan bahawa perjumpaan di tempat terbuka dengan jumlah orang yang tidak terhad akan dibenarkan.

Tetapi liputan dari saluran televisyen RTS menunjukkan sedikit mengenai garis panduan kesihatan yang ada pada perlawanan di Partizan dan juga pada perlawanan liga lain.

Selepas perlawanan akhir bagi musim liga mereka menentang Proleter pada Sabtu lalu, Red Star Belgrade meraikan kemenangan gelaran Serbia dengan dihadiri lebih daripada 10,000 peminat mereka.

Sekurang-kurangnya empat daripada lima pemain kelab tidak bermain dalam perlawanan terakhir itu kerana mereka merasakan simptom koronavirus, kata kelab itu. – AFP

Penyokong Red Star Belgrade semasa perlawanan separuh akhir Piala Serbia antara FK Partizan Belgrade dan Red Star Belgrade di Stadium Partizan di Belgrade, pada 20 Jun. – AFP