Oleh Ak Zaki Kasharan & Khairil Hassan
Gambar oleh Khairil Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Kontinjen karate-do dari Sabah muncul johan secara keseluruhan dalam 1st Borneo Karate-do Open Championship 2019 yang dianjurkan oleh Persekutuan Karate-do Brunei Darussalam (BRUKAF) dan Rengokai Karatedo Brunei Darussalam (RKBD), yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Kontinjen Sabah berjaya mengumpul 24 pingat emas, 25 pingat perak dan 20 gangsa, manakala di tempat kedua kontinjen dari Negara Brunei Darussalam dengan kutipan 10 emas, 10 perak dan 39 gangsa dan di tempat ketiga Wilayah Persekutuan Labuan dengan empat pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
Di tempat keempat kontinjen dari Indonesia dengan kutipan dua pingat emas, satu perak dan di tempat kelima, kontinjen dari Sarawak dengan tiga pingat perak dan 13 gangsa.
Seramai 161 orang atlet telah menyertai 1st Borneo Karate-do Open Championship 2019 yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin 30 Mac 2019 yang menyaksikan penyertaan kontinjen dari Negara Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kelmarin, majlis pembukaan rasmi 1st Borneo Karate-do Open Championship 2019 berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan pada majlis berkenaan turut diperkenalkan kepada ketua-ketua kontinjen serta para pengadil sebelum menyaksikan perlawanan akhir bagi acara Kata Perempuan Kategori C iaitu bagi peserta yang berumur 12 hingga 13 tahun.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan pada majlis berkenaan juga kemudiannya turut berkesudian bagi menyampaikan pingat kepada para pemenang bagi kategori Kata perseorangan lelaki dan perempuan yang telah berlangsung pertandingannya di sebelah pagi.































