162 pegawai terima P.K.L

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kementerian Pertahanan meraikan seramai 162 orang warganya dalam Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71, Penyampaian Sijil dan Cenderahati Kepada Pesara-pesara Awam Kementerian Pertahanan dan Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) 2017 yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Di majlis berkenaan seramai 90 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan awam, Kementerian Pertahanan telah menerima P.K.L, seramai 68 orang pesara awam yang telah bersara di sepanjang 2017 menerima sijil-sijil perkhidmatan dan cenderahati, manakala itu empat orang menerima APCPA daripada Kementerian Pertahanan bersempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-24 pada 2017.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian P.K.L, sijil dan cenderahati serta anugerah pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli eksekutif pertahanan, jemputan-jemputan khas termasuk setiausaha-setiausaha tetap dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pemerintah-pemerintah tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, ahli keluarga para penerima serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dalam ucapannya pada majlis berkenaan menyatakan, “Kepentingan sumber tenaga manusia adalah salah satu key results area bagi pencapaian kemajuan khususnya kitani di Kementerian Pertahanan untuk menjana pertahanan yang mampan.”

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai dengan para penerima yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.

Beliau menyatakan lagi bahawa kualiti adalah perlu dimiliki dan terserlah pada semua lapisan warga Kementerian Pertahanan di mana golongan awam dan tentera sama-sama memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan pencapaian matlamat dan strategi Kementerian Pertahanan sebagai institusi yang berpegang teguh mengamalkan nilai-nilai terasnya dan mendukung konsep serta falsafah negara.

“Adalah suatu kebanggaan bersama titik peluh serta pengorbanan tenaga dan masa biskita semua, telah menjadikan organisasi kita dapat berdiri teguh dan maju ke hadapan dalam memastikan keselamatan, keamanan dan keselesaan bagi rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin dan juga pembangunan negara berjalan sempurna khususnya dalam menjayakan Wawasan Negara 2035.

“Saya juga mengingatkan bahawa kecemerlangan ini tidak semestinya sesuatu yang constant dan berlandaskan kehebatan diri sendiri sahaja. Malahan, dengan setiap langkah yang diambil dalam menempuh pahit manis alam pekerjaan, ia memerlukan tahap dedikasi dan komitmen tinggi serta iltizam secara berterusan di samping menyedari kepentingan semangat bekerjasama secara berpasukan dengan rakan-rakan seperjuangan,” tambah beliau.

Pingat P.K.L dianugerahkan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-sekurangnya 20 tahun dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan cemerlang, manakala itu APCPA pula merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang perkhidmatan bersama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis itu juga dimeriahkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan yang bertujuan untuk meraikan kejayaan melaksanakan ibadah fardu puasa dan amalan-amalan dalam bulan Ramadan.