163 kes baharu, 5 lagi kluster COVID-19 dikesan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Sebanyak 163 kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam sebanyak 9,828 orang, manakala lima lagi kluster baharu melibatkan 44 kes turut dikesan.

Daripada kes-kes tersebut, 48 merupakan tambahan kes-kes baharu kepada 19 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Kesemua kluster baharu ini adalah kluster rumah kediaman di mana tiga daripadanya iaitu Kluster LNS Sdn Bhd, Kluster Hasnaljar Sdn Bhd dan Kluster Degymix Enterprise adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat itu,” jelas Yang Berhormat Dato.

Manakala dua kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam masa 28 hari iaitu Kluster IBTE KB dan Kluster 1888, menjadikan jumlah kluster yang aktif sebanyak 166 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 71 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 183 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 7,498 kes manakala jumlah kes aktif ialah 2,263 kes,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan terdapat tujuh kes dalam rawatan bagi kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif, di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 27 kes lain dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,474 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 425,000 ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media tersebut.