Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seramai 167 orang pegawai dan anggota pangkat rendah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima Pingat Kerja Lama Polis (PKLP) pada majlis penyampaian pingat di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat PPDB, Gadong hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin yang turut menyempurnakan penyampaian pingat kepada para penerima.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta para penerima pingat.
Penganugerahan pingat merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan kepada para penjawat awam yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Di samping mempunyai rekod yang baik, pengiktirafan ini juga dapat meningkatkan dan menyuntik motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti kepada kerajaan dan juga negara.