Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Seramai 169 orang pelajar Tahun 11 dan Tahun 10 Express dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Madang/Manggis, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat yang seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Saili bin Haji Chuchu.
Majlis kemudian diteruskan lagi dengan bacaan surah-surah oleh para peserta khatam, bacaan Takhtim dan Doa Khatam. Seterusnya majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis khatam Al-Quran ini diadakan buat kali ketujuh dan ia merupakan sebahagian projek tahunan sekolah berkenaan yang bertujuan untuk menggalakkan para pelajar agar sentiasa membaca Al-Quran serta mampu mengkhatamkan Al-Quran 30 Juzuk.


