Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Sebanyak 757 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 7,568 dos iaitu 17.6 peratus daripada kanak-kanak di dalam kumpulan umur tersebut.
Sementara itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah pada kadar 62.4 peratus kelmarin. Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya, 217 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, 207 daripada hasil ujian ART dan 10 hasil daripada 434 ujian makmal RT-PCR dalam masa 24 jam lalu, menjadikan kes keseluruhan setakat ini 139,278.
“Terdapat satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif manakala tiada kes dalam kategori 4,” tambahnya.
Seramai 350 pesakit disahkan sembuh, membawa jumlah keseluruhan yang sembuh kepada 136,663 kes dan kes aktif sebanyak 2,399 yang mana 48 dirawat di hospital manakala selebihnya menjalani pengasingan diri di rumah.
“Marilah kita memohon keampunan dan hidayah daripada Allah SWT dan terus memanjatkan doa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa diberikan keafiatan. Aamiin Aaminn Ya Rabbalalamin,” ujar Yang Berhormat Menteri Kesihatan.