17 mahasiswa KUPU SB terima sijil kepujian dekan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Seramai 17 orang mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) terpilih bagi menerima anugerah Sijil Kepujian Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB bagi semester dua, sesi 2017/2018.

Majlis penyampaian sijil berkenaan telah diadakan di Dewan Ta’lim KUPU SB, di sini, hari ini.

Daripada jumlah penerima anugerah tersebut, dua daripadanya merupakan pelajar program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (DPULI), 11 orang daripada program ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (SMPU) dan empat daripada program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (DTPU).

Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Profesor Madya Dr Zahiri bin Awang Mat dalam ucapan penghargaannya antara lain telah menekankan mengenai pentingnya pelajar mempunyai wawasan, yang mana, pelajar yang ada pada masa ini adalah aset penting negara.

Beliau turut memetik hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang inginkan semua memberi sumbangan dan jasa kepada negara dan anak didik, masyarakat dan ummah.

Profesor Madya Dr Zahiri dan kakitangan KUPU SB bergambar ramai dengan penerima anugerah Sijil Kepujian Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB bagi semester dua, sesi 2017/2018.

“Untuk mempunyai wawasan yang luas, pandangan yang jauh, memikirkan kemajuan ahli keluarga, masyarakat dan negara adalah amanah negara jadi jangan pernah sia-siakan aset yang telah dikurniakan pada diri kita yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk membantu negara masing-masing,” tekannya.

Selain itu, tambah beliau, perkembangan potensi, secara umum, bukanlah satu pembaziran dalam kehidupan melainkan pembaziran potensi.

“Pembaziran potensi merupakan perkara yang amat merugikan individu, ummah dan negara,” katanya sambil menambah, setiap individu mempunyai potensi masing-masing, yang penting mengenali apakah potensi diri sendiri, bakat diri sendiri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Awang Kharhan bin Haji Jait dan pensyarah-pensyarah serta kakitangan Fakulti Pendidikan.

Majlis anugerah berkenaan diadakan khususnya bagi menghargai mahasiswa dan mahasiswi yang telah berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan kerja kursus akhir semester dua mereka.

Ia diharap dapat memberi semangat dan galakan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu dan seterusnya meningkatkan prestasi pembelajaran mereka bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan.