17 masih jalani kuarantin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, seramai 17 orang masih menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 2,806 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan adalah dalam keadaan yang baik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkembangan berkenaan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Walau bagaimanapun, terdapat 313 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau, setakat ini, seramai 2,419 orang telah menamatkan penga-singan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa sebanyak 331 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 25,931 ujian.

Berhubung mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat ini seramai 389,056 orang ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 9,647 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth. Manakala itu, sebanyak 5,020 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi
PremiseScan.

Sehubungan ini, beliau sekali lagi menasihatkan semua premis untuk memuat turun aplikasi PremiseScan bagi memudahkan pengimbasan kod QR terutama sekali kepada orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.