17 pegawai PPDB dinaikkan pangkat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 17 orang pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah ditetapkan dan dinaikkan pangkat berkuat kuasa 1 Ogos 2020.

Sehubungan itu, majlis bagi meraikan kenaikan pangkat pegawai-pegawai berkenaan telah berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, pengarah-pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta ahli keluarga anggota polis yang diraikan.

Pegawai yang diraikan terdiri daripada lapan orang pegawai yang ditetapkan pangkat sebagai penolong penguasa polis dan sembilan pegawai dinaikkan pangkat sebagai inspektor polis.

Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan semasa menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada salah seorang anggota PPDB yang dinaikkan pangkat. – Gambar serahan PPDB