17 pemandu kena kompaun

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Seramai 17 orang pemandu kenderaan persendirian telah dikeluarkan kompaun kerana didapati bersalah memandu kenderaan yang tidak berkelayakan dan tidak selamat dipandu di atas jalan raya dan tanpa kebenaran daripada pemilik yang sah.

Kompaun-kompaun berkenaan dikeluarkan semasa operasi penguatkuasaan ‘On The Move Operation’ yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di sekitar kawasan Lambak Kanan, Lebuhraya Hassanal Bolkiah, Serasa Muara, Sengkurong, Mata-mata dan Jalan Kupang, pada 4 dan 5 April lalu.

Dalam perkara ini, JPD dalam kenyataan yang dikeluarkannya, mengingatkan orang ramai khususnya pemilik kenderaan supaya akan sentiasa mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya dengan memastikan kenderaan adalah layak dan selamat untuk dipandu di atas jalan raya.

Mana-mana kenderaan yang dijual atau tidak lagi diguna pakai oleh pemilik asal kenderaan hendaklah ditukar nama kepada pemilik baru bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku membabitkan pemilik asal kenderaan.

Kenyataan menekankan, JPD akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara tegas dan tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun dan membatalkan lesen kenderaan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan orang ramai khususnya para pengguna jalan raya adalah terjaga.

JPD juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menghadapkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas jalan raya dengan menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123.

Anggota JPD semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan, baru-baru ini.
Antara kesalahan yang berjaya dikesan semasa operasi dijalankan, baru-baru ini.