Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    17 peserta berentap dalam musabaqah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 17 orang terdiri daripada 13 qari dan empat qariah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pertama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1444H/2023M yang diadakan selama empat hari berturut-turut bermula hari ini.

    Pertandingan yang merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sehingga 24 November.

    Hadir selaku tetamu khas majlis pada pertandingan hari ini ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran, Jabatan Pentadbiran, KHEU, Haji Mohd Shamsul Riza bin Haji Sulaiman.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, seramai 54 orang peserta terdiri dari 41 qari dan 13 qariah telah terpilih bagi peringkat separuh akhir musabaqah berkenaan.

    Daripada jumlah tersebut, 34 orang daripadanya, iaitu 28 qari dan enam qariah merupakan para peserta yang terpilih dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Daerah bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1444H/2022M anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, yang telah berlangsung pada 1 hingga 3 November lalu.

    Manakala itu, seramai 10 orang lagi iaitu lapan orang qari dan dua qariah merupakan peserta-peserta yang memperolehi markah 80 peratus ke atas selama tiga tahun berturut-turut dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan. Sementara itu, sembilan orang peserta lagi ialah daripada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443H/2022M lalu serta seorang johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi 1441H/2020M.

    Musabaqah berkenaan merupakan wadah untuk mengembangkan dan memartabatkan bidang Al-Quran sekali gus dapat mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran dan sebagai zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan sebagai titik permulaan dan medan bagi para qari dan qariah negara untuk melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa.

    Orang ramai bolehlah mengikuti musabaqah berkenaan secara langsung melalui Instagram rasmi KHEU, @kheu.brunei.

    Antara peserta yang memperdengarkan bacaan semasa majlis berkenaan.
    Musabaqah yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...