17 terima bantuan komputer

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Seramai 17 orang pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), hari ini, telah menerima sumbangan peralatan komputer bagi menyokong pembelajaran dalam talian untuk kegunaan pelajar yang memerlukan.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di maktab itu, di mana sumbangan disampaikan oleh Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli. Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim.

Penyerahan peralatan komputer kepada pelajar terpilih dibuat secara berperingkat bermula hari ini bagi mengelakkan perkumpulan besar bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Pengagihan peralatan itu juga dilaratkan ke beberapa buah sekolah yang mempunyai pelajar yang memerlukan peralatan komputer.

Ibu bapa serta pelajar yang terpilih menerima peralatan itu dinasihatkan untuk sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan peralatan digunakan secara selamat dan sebaik mungkin dalam penggunaan pembelajaran di rumah serta tidak disalahgunakan.

Kementerian Pendidikan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas sambutan menggalakkan daripada orang awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan terhadap Kempen Derma Peralatan Komputer bagi Menyokong Pembelajaran Dalam Talian.

Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah sama-sama berganding bahu dalam memastikan peralatan komputer yang disumbangkan memenuhi spesifikasi minimum yang diperlukan iaitu dilengkapi dengan pemasangan perisian tertentu bagi tujuan pembelajaran dalam talian.

Awang Zainal Abidin menyerahkan sumbangan komputer kepada pelajar Maktab Duli.