1,700 lembu tiba di bangunan fidlot baharu PDS Abattoir

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – PDS Abattoir Sdn Bhd telah mendatangkan 1,700 ekor lembu dari Australia ke Brunei bagi memastikan bekalan daging yang mencukupi untuk penduduk negara ini.

Lembu berkenaan ditempatkan di bangunan fidlot yang baharu dibina di Kawasan Pembangunan Pertanian Batang Mitus.

Pengurus Besar PDS Abattoir Sdn Bhd, Haji Muhammad Sabirin bin Othman berkata, dengan sokongan daripada pihak-pihak berkuasa dan kolaborasi daripada pihak berkepentingan, PDS Abattoir akan memainkan peranan penting dalam memantau dan memastikan ketersediaan daging.

“Ketibaan 1,700 ekor lembu di bangunan fidlot PDS Abattoir yang siap baru-baru ini di Batang Mitus adalah peristiwa penting bagi PDS Abattoir dan semua memainkan peranan dalam menjadikan kemudahan fidlot pertama di Brunei ini satu realiti.

“Walaupun pada asalnya dirancang bagi aktiviti fidlot, kemudahan ini digunakan sementara sebagai tempat penyimpanan bagi lembu yang sedia disembelih,” jelas beliau.

Fidlot berkenaan boleh menempatkan sehingga 2,000 ekor lembu dan ia merupakan fasa pertama bagi projek fidlot PDS Abattoir.

Fasa kedua dan ketiga masih dalam pembinaan dan sebaik sahaja siap, PDS Abattoir akan dapat menempatkan sehingga 7,000 ekor lembu pada satu masa.

Lembu yang didatangkan dari Australia ditempatkan di bangunan fidlot baharu PDS Abattoir Sdn Bhd di Batang Mitus. – Gambar serahan PDS Abattoir Sdn Bhd