17,000 penumpang terkandas

TOKYO, 10 SEPT – Kira-kira 17,000 penumpang terkandas semalaman di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, kata pegawai hari ini, selepas ia terjejas akibat ribut taufan kuat yang mencetuskan gangguan pengangkutan di seluruh ibu negara.

Ribut taufan menyebabkan lebih 100 penerbangan dibatalkan dan perhubungan jalan raya dan kereta api juga terjejas teruk, meninggalkan ramai tanpa opsyen pengangkutan ke bandar, 70 kilometer ke barat.

Jurucakap Lapangan Terbang Kei Miyahara memberitahu AFP seramai 16,900 penumpang terkandas di lapangan terbang pada tengah malam.

“Penumpang kini mulai pulang atau pergi ke destinasi akhir mereka apabila bas dan kereta api meneruskan operasi,” kata Miyahara pada awal hari ini.

Lapangan Terbang Narita, terletak di Chiba ke timur Tokyo, berada di laluan Ribut Taufan Faxai, yang membawa angin dengan kelajuan 207 kilometer sejam.

Kereta api pinggir bandar di kawasan metropolitan Tokyo tidak dibuka sehingga pukul 8 pagi semalam tatkala pegawai memeriksa runtuhan dan kerosakan.

Ia menimbulkan kekecohan ketika kesibukan perjalanan pagi.

Lapangan terbang itu berkata ia memberikan 2,000 botol air, 19,000 beg biskut dan 18,000 gulungan tilam kepada penumpang yang terkandas. – AFP

Para penumpang ketika menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita tatkala perhubungan jalan raya dan kereta api juga terjejas teruk akibat ribut taufan Faxai di Narita, Wilayah Chiba pada 9 September. – AFP