173 lagi komputer riba diterima

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Sebanyak 173 buah komputer riba yang disumbangkan oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan dan beberapa buah syarikat telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, hari ini.

Hadir bagi menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Daripada jumlah komputer riba yang disumbangkan itu, 40 adalah daripada Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli yang telah disampaikan oleh pengerusinya, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad.

Manakala itu, 33 unit disumbangkan oleh setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap.

Sumbangan berkenaan di-sampaikan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Ja-batan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yussof.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menerima sumbangan daripada setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan menerima sumbangan daripada SC Tubular Solutions (B) yang disampaikan oleh Philip Grant.

Sebanyak 40 unit lagi disumbangkan oleh Hanafi Consultant yang disampaikan oleh pengerusinya, Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman manakala itu, 40 unit lagi disumbangkan oleh BS Syscom (B) Sdn Bhd yang disampaikan oleh pengarah urusannya, Sylvester Yong.

Sementara 20 unit komputer riba diterima daripada SC Tubular Solutions(B) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Philip Grant.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, wakil dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Kementerian Pendidikan dan tetamu khas yang lain.

Sumbangan berkenaan adalah bagi kempen derma peralatan komputer yang diusahakan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi dan AITI bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta membantu para pelajar yang memerlukan semasa pandemik COVID-19 di negara ini.

Kempen berkenaan akan dibuka sehingga 14 Mei depan dengan sumbangan boleh dihantar ke Blok A, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Muara atau IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8:30 pagi hingga 1:30 petang.