1,733 Karton rokok lagi ditemukan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

TEMBURONG, 11 SEPT – Insiden seorang individu yang membuka ‘langkah seribu’ sebaik menyedari kehadiran anggota Daerah Polis Temburong yang menjalankan rondaan rutin pencegahan di kawasan Kampung Puni A telah berjaya membongkar kegiatan jenayah membabitkan barang tegahan.

Rondaan yang dijalankan sekitar 1 pagi tadi itu telah menemukan sejumlah barang tegahan iaitu rokok serta minuman keras pelbagai jenama dalam dua kejadian.

Dalam insiden pertama, keanggotaan balai telah menemukan sebuah kereta yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan jalan kecil kebun, Kampung Puni A, Temburong.

Menyedari akan kehadiran pihak polis, satu kelibat dipercayai seorang individu terus melarikan diri masuk ke dalam hutan yang berdekatan.

Pemeriksaan kemudian dijalankan ke atas kenderaan berkenaan dan hasilnya telah menemukan sejumlah 688 karton rokok pelbagai jenama.

Manakala dalam insiden kedua untuk menjejaki individu yang dipercayai melarikan diri itu, pihak polis telah membuat pemeriksaan di kawasan persekitaran, lalu menemukan lagi sejumlah rokok dan minuman keras yang disembunyikan di sebalik kepingan bekas atap yang tidak digunakan lagi di kawasan pondok ternakan yang dipercayai tempat penyimpanan barang-barangan tegahan.

Pemeriksaan terhadap penemuan itu berhasil menemukan sejumlah 1,045 karton rokok, 306 tin dan 90 botol minuman keras.

Kesemua barangan tegahan dibawa ke Balai Polis Temburong untuk disiasat dan kemudiannya kertas penyiasatan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

PPDB akan sentiasa berusaha dalam mempertingkatkan keupayaan dalam arena
tugasan pengesanan dan siasatan dalam memastikan elemen-elemen jenayah dapat
dibanteras dengan sebaiknya.

Antara rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang ditemui di Kampung Puni A.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan terbabit telah menemukan 688 karton pelbagai jenama.