174 anggota PPDB terima PKLP

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seramai 174 orang anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima Pingat Kerja Lama Polis (PKLP) dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, Hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta para penerima pingat.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar sebelum diteruskan dengan penyampaian pingat-pingat kepada para penerima yang disempurnakan oleh Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan.

Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang berkhidmat selama 20 tahun.

Di samping mengiktiraf mereka yang mempunyai rekod perkhidmatan baik, ia juga dapat meningkatkan dan menyuntik motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti pada kerajaan dan juga negara.

Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwanmenyampaikan pingat kepada anggota pangkat rendah PPDB yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Antara yang menerima PKLP pada majlis yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, kelmarin.