17,762 pelajar terima suntikan dos pertama

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sejak Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK) bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun dimulakan pada 8 November lalu, sehingga pukul 3 petang, hari ini, seramai 17,762 orang pelajar terdiri daripada kalangan mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah antarabangsa telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa di Daerah Brunei dan Muara, seramai 11,805 orang menjalani vaksinasi, di Daerah Temburong, seramai 1,074 orang pelajar, di Daerah Tutong seramai 2,698 orang pelajar dan di Daerah Belait, seramai 2,185 orang pelajar telah menerima vaksinasi dos pertama mereka.

Sepanjang program itu dilaksanakan, ulasnya, Kementerian Pendidikan telah pun menugaskan pegawai-pegawai dan guru-guru pengawas bagi membantu petugas di lokasi-lokasi vaksinasi bagi memudahkan proses pendaftaran untuk para ibu bapa dan khasnya para pelajar.

Di samping itu, pihak Kementerian Pendidikan juga menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pelajar-pelajar ke pusat-pusat vaksinasi.

Dalam kenyataannya lagi, Yang Berhormat Dato berkata bahawa Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan bahawa terdapat dua perubahan kepada jadual vaksinasi pelajar di mana perubahan pertama ialah pada 12 November yang mana akan melibatkan 11 buah sekolah dan 699 orang pelajar.

Sementara itu, perubahan kedua ialah pada13 November 2021 yang akan melibatkan seramai 1,105 orang pelajar dari 14 buah sekolah swasta dan institusi kerajaan.

“Tarikh dan lokasi bervaksin yang baharu telah pun dimaklumkan kepada sekolah-sekolah berkenaan,” menurut beliau.

Tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah, “Ibu bapa dan penjaga telah dihubungi dan dinasihatkan untuk merujuk terus mengenai perkara ini kepada sekolah-sekolah berkenaan atau boleh merujuk terus ke laman sesawang rasmi Kementerian Pendidikan.”

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa berucap pada sidang media yang diadakan kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan