Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    178 pelajar terpilih bagi Skim Tilawah Al-Quran Remaja

    Oleh Normazlina M.D

    TUTONG, 15 Jan – Seramai 178 orang pelajar daripada 606 pelajar yang menjalani sesi temu duga pada Oktober dan November tahun lalu telah berjaya dipilih mengikuti Skim Tilawah Al-Quran Remaja.

    Mereka yang terpilih terdiri daripada seramai 147 orang bagi Daerah Brunei dan Muara, 11 orang bagi Daerah Tutong, 12 orang bagi Daerah Belait dan lapan orang bagi Daerah Temburong.

    Para peserta yang dipilih berkenaan telah memulakan pendaftaran mereka secara serentak di keempat-empat daerah pagi tadi di pusat-pusat pembelajaran Skim Tilawah Al-Quran Remaja iaitu di Sekolah Ugama Beribi bagi Daerah Brunei dan Muara, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain bagi Daerah Tutong, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah bagi Daerah Belait dan di Sekolah Arab Temburong.

    Semasa sesi pendaftaran dijalankan, taklimat juga telah disampaikan oleh pihak Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam.

    Antara peserta yang berjaya memasuki skim berkenaan.
    Antara peserta yang berjaya memasuki skim berkenaan.

    Taklimat menerangkan mengenai skim tersebut yang akan dijalankan selama dua tahun dan dijalankan pada setiap Jumaat dan Ahad semasa penggal persekolahan.

    Mereka yang lulus Ujian Akhir Tahun 2 dengan mendapat keputusan Gred A atau B akan ditawarkan mengikuti Skim Lanjutan Tilawah Al-Quran Remaja selama setahun.

    Taklimat juga mengongsikan beberapa modul latihan dan aktiviti sepanjang skim dijalankan antaranya latihan asas senam pernafasan dan suara, pembelajaran di bilik darjah, ceramah, latihan persembahan bacaan Al-Quran di atas pentas secara perseorangan dan berkumpulan dan banyak lagi.

    Skim Tilawah Al-Quran Remaja merupakan skim yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam bagi melahirkan remaja yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara bertarranum.

    Ia mula ditubuhkan pada tahun 1997 yang berobjektif untuk melatih dan membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur.

    Matlamat skim ini adalah untuk melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja yang berpotensi serta dihasratkan remaja-remaja ini akan menjadi pelapis qari dan qariah negara peringkat kebangsaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda