Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 1,784 orang graduan telah diraikan pada Majlis Konvokesyen Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kali ke-30 dalam pelbagai program latihan yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Pada majlis itu telah menyaksikan 1,089 orang graduan iaitu 55 orang graduan TVET akademik, dua orang graduan menerima diploma dan 1,032 graduan HNTec menerima sijil mereka pada sebelah pagi manakala 695 orang graduan Ntec menerima sijil mereka pada sebelah petang.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan anugerah kepada penerima pada sebelah pagi ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Manakala pada sebelah petang, penyampaian sijil dan anugerah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat majlis.
Di majlis itu, Pengarah Pendidikan Teknik selaku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya antara lain menjelaskan, di samping sijil, beberapa anugerah pelajar cemerlang dan anugerah khas pelajar disampaikan kepada pelajar yang mencapai prestasi cemerlang bukan saja melalui akademik tapi penglibatan melalui aktiviti bukan saja menjurus akademik.
Katanya lagi, “Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Duta China yang dikhususkan kepada pelajar terbaik dalam Kursus Diploma dalam Refinery Operator dan Diploma dalam Control and Automation Engineering.”
Beliau turut mengongsikan pencapaian IBTE, di mana institut tersebut terus mengorak langkah lebih maju dengan menubuhkan sebuah pusat yang dinamakan IBTE Centre of Technology Enhance Learning (CTEL).
“Pusat ini menyediakan bimbingan, sumber dan sokongan terhadap persekitaran pembelajaran yang ada, seterusnya akan terus mempertingkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menarik tenaga pengajar dan pelajar yang sentiasa menggunakan teknologi dengan bijak,” jelasnya.
Selain itu, IBTE juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutama pihak industri bagi sama-sama memastikan program yang ditawarkan sentiasa relevan dan bertepatan dengan pasaran kerja semasa dan memenuhi keperluan pihak industri.
IBTE juga menjalin hubungan erat dengan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak industri dari dalam dan juga luar negara di mana pada tahun ini, tujuh MoU telah ditandatangani.
Beliau seterusnya mengongsikan, hasil daripada kerjasama rapat dan sokongan itu telah membantu meningkatkan kadar kepuasan majikan terhadap prestasi kerja graduan yang meningkat daripada 89.7 peratus pada tahun 2021 kepada 91.2 peratus pada tahun 2022.
Terdahulu, majlis diserikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Tingkat 1, Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Haji Manan bin Haji Osman.
Kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada pelajar IBTE School of ICT Satellite, Awang Muhammad Qamarul Hamizan bin Awang Minor Absah.
Sementara itu, penyampaian sijil kepada 197 orang graduan Sijil Kelayakan Kemahiran Perindustrian (ISQ) akan diadakan pada majlis berasingan pada penghujung November ini.
Turut hadir di majlis itu ialah ahli-ahli Lembaga Pengelola IBTE, ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.