179 pelajar sertai Kabsbm

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seramai 179 pelajar telah menyertai Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir pada siri tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah. Turut hadir para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

Siri pembentangan kali keempat ini menampilkan pemakalah dari Brunei Darussalam iaitu Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk. Manakala, pengerusi kongres ialah Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak. Kongres kali ini mengupas aspek bahasa dengan tajuk Tulisan Jawi Khazanah dan Identiti Bangsa Brunei.

Antara yang dibincangkan dalam pembentangan kali ini ialah sejarah tulisan Jawi, usaha-usaha kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mempertahankan tulisan Jawi serta peranan tulisan Jawi dan kepentingannya bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam yang merupakan khazanah dan identiti bangsa Brunei tetapi juga di Nusantara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama, Bahasa Jiwa Bangsa ini  turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), KUPU SB, Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu. Kongres ini juga antara lain  berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui pengetahuan dinamik, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Antara yang menyertai KABSBM yang telah diadakan secara maya.