18 anak damit 1 Muharam dirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Seramai 18 anak damit yang dilahirkan pada 1 Muharam 1442 Hijrah di seluruh negara disambut dengan penuh kesyukuran seperti tahun-tahun yang lalu.

Dalam pada itu, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di ibu negara telah mencatatkan kelahiran seramai 13 anak damit, iaitu 10 orang anak damit lelaki dan tiga anak damit perempuan.

Anak damit lelaki daripada pasangan Awang Mohd Hazmi Syafie bin Haji Shahri dengan Dayang Norabidah binti Abdul Hamid merupakan anak damit pertama yang dilahirkan iaitu pada jam 9:21 malam dengan berat 3.43kg.

Sementara itu, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait pula mencatatkan kelahiran lima anak damit, iaitu dua anak damit lelaki dan tiga anak damit perempuan.

Bagaimanapun tiada kelahiran dicatatkan di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Daerah Temburong.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan hadiah kepada salah seorang penjaga anak damit yang lahir pada awal tahun 1442 Hijrah tahun ini.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta tetamu lain semasa hadir pada majlis tersebut.

Sehubungan itu, bagi memanjat kesyukuran di atas kelahiran anak damit berkenaan bersempena dengan Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah tahun ini, sebuah majlis penyampaian hadiah kepada anak-anak damit berkenaan telah diadakan hari ini.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas, di mana hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada ibu bapa anak damit berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bagi menyampaikan sumbangan dari Perbadanan TAIB dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar;  Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian
Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

Sementara itu, di Daerah Belait, majlis seumpamanya diadakan di Dewan Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada penerima ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman. Di Hospital Suri Seri Begawan, anak damit pertama (lelaki) dilahirkan pada
jam 6:45 pagi daripada pasangan Awang Mohammad Mu’iz bin Sham Khiruddin
dengan Dayang Norhazirah binti Hanafi seberat 3.485kg.

Setiap seorang daripada anak damit yang dilahirkan pada awal Muharam telah menerima hadiah berupa barangan keperluan anak damit dan buku ‘Panduan Menyambut Kelahiran’ daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Akaun SiManja berjumlah $200 serta hadiah daripada Perbadanan TAIB.

Majlis ini juga merupakan salah satu cara bagi menyebarkan dakwah Islam dalam menjadikan takwim Hijrah untuk terus digunakan dari semasa ke semasa.