18 barangan tersenarai skim harga maksimum

KUCHING, 22 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 18 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Aidilfitri dan 14 barangan untuk Hari Gawai Dayak yang akan disambut pada Jun ini.

Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata skim itu berkuat kuasa pada 25 Mei hingga 7 Jun untuk Hari Gawai dan 21 Mei hingga 19 Jun untuk Aidilfitri mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya barangan harga terkawal tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging lembu import, cili kering, tomato, kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali jenis Beijing), kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang besar import, bawang putih (China), ubi kentang import (China), ikan kembung dan ikan selayang.

Sempena perayaan Gawai, tiga lagi barangan di bawah SHMMP ialah babi hidup (dikawal di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

“Selain itu, peniaga juga perlu memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan untuk berniaga harus memiliki pelekat yang disertakan dengan tarikh luput ditentu sahkan, kapasiti timbang, dan nombor siri alat penimbang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program pemeriksaan alat timbang sukat di medan niaga Satok di sini hari ini. – Bernama