Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    18 belia tamat program bidang pertanian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Seramai 18 orang belia berjaya menamatkan dan menerima sijil bagi Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-7 yang berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urus Niaga Hortikultur Rimba, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah ahli Kaji Penyakit Tumbuhan Kanan, Dayang Layla Staznie binti Abdullah Lim.

    Program yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan berkenaan, diadakan secara hibrid bermula dari 5 April sehingga hari ini sebagai salah satu inisiatif jabatan bertujuan untuk meningkatkan minat orang ramai khususnya belia bagi menceburkan diri ke dalam sektor pertanian.

    Salah seorang peserta program, Pengiran Haji Mohd Wafiashady bin Pengiran Haji Momin, graduan lepasan Universiti Brunei Darussalam dalam temu bual dengan Media Permata berkata dorongan untuk menceburi bidang pertanian lahir pada penghujung 2019 apabila menyaksikan berita mengenai wabak COVID-19 di Wuhan, China di mana beliau menyedari bahawa berkemungkinan berlakunya kekurangan bekalan makanan disebabkan oleh penularan wabak berkenaan.

    Situasi itu dan dorongan daripada ayahnya telah membuatkan beliau mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian secara kecil-kecilan dengan bertanam lada Jalapeno di mana hasil tanamannya yang dijual di pasar raya-pasar raya serta gerai-gerai tempatan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan dan amat berbaloi baginya.

    Dayang Layla Staznie menyampaikan sijil penyertaan program kepada Pengiran Haji Mohd Wafiashady pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urus Niaga Hortikultur Rimba.
    Dayang Layla Staznie bergambar ramai dengan para peserta Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-7.

    Mengulas mengenai pengalaman mengikuti program berkenaan, Pengiran Haji Mohd Wafiashady berkata bahawa program itu banyak men-dedahkan kepadanya pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian seperti pengurusan rumput rampai, pengurusan baja dan cara-cara untuk membuat permohonan bagi mengimport baja.

    Beliau berkata tumpuannya adalah kepada penanaman lada Jalapeno di mana ia mendapat sambutan yang di luar jangkaan kerana pada awal mula menghasilkan tanaman berkenaan, tidak ramai pengusaha tempatan menghasilkannya.

    Selain daripada tanaman Jalapeno, beliau juga menghasilkan tanaman sampingan termasuk sawi, bayam dan limau kasturi.

    Pengiran Haji Mohd Wafi-ashady juga menyarankan golongan belia yang berminat untuk merebut peluang yang diberikan menceburi bidang pertanian secara kecil-kecilan di mana hasil daripada usaha itu nanti, mampu untuk mendorong mereka untuk terus berkecimpung dalam bidang berkenaan.

    Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2016-2022 yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan keluaran sektor pertanian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...