Oleh Hakim Hayat
Gambar serahan PPDB
BELAIT, 4 APRIL – Seramai 18 orang lelaki ditahan terlibat dalam kegiatan sabung ayam semasa serbuan pihak polis di kawasan Kampung Bukit Puan, Labi, Daerah Belait pada 1 April lalu.
Serbuan pada sekitar jam 12 tengah hari itu adalah hasil kolaborasi keanggotaan detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Kuala Belait, Seria, Panaga dan Balai Polis Sungai Liang.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), semasa serbuan itu, sekumpulan kaki sabung berkenaan sedang berkumpul di kawasan gelanggang sabung ayam dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan.
Sejurus menyedari akan kehadiran pihak polis, kesemua mereka lari bertempiaran dengan membawa bersama ayam laga masing-masing.
Turut dirampas ialah sembilan ekor ayam, peralatan judi dan wang tunai yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan sabung ayam.
Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait untuk dijalankan siasatan lanjut.
Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan di bawah Akta Rumah Perjudian Penggal 28, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak $10,000 dan enam bulan penjara.
Dalam pada itu, turut diselitkan pertuduhan terhadap kesalahan menzalimi binatang di bawah Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Kecil Penggal 30, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan.