18 jeti persendirian industri kelapa sawit dibenar beroperasi di Sabah

TUARAN, 26 APRIL – Sebanyak 18 jeti persendirian industri kelapa sawit yang ditutup sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata keputusan itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Pusat Arahan COVID-19 Sabah.

“Kita mendengar dengan teliti semua pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk Persatuan Minyak Sawit Malaysia, penggiat industri yang terlibat serta pengusaha pekebun kecil yang terjejas kerana tidak dapat mengangkut buah kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 185 pakej makanan kepada penduduk terjejas PKP sekitar daerah Tuaran di sini hari ini. – Bernama