18 juta pil dadah berjaya dirampas

BANGKOK, 17 Dis – Pihak berkuasa Thailand merampas lebih 18 juta pil methamphetamine di ‘Segi Tiga Emas’ yang terkenal dengan dadah, menurut seorang pegawai kanan tentera hari ini, berikutan operasi antipenyeludupan dadah di sempadan kawasan berkenaan.

Segi Tiga Emas – sebuah kawasan sempadan bersilang yang melibatkan sempadan China, Myanmar, Thailand dan Laos, merupakan pangkalan utama operasi perdagangan methamphetamine yang paling berharga di Asia Tenggara.

Langkah untuk melancarkan tindakan keras ke atas kemasukan dadah dalam jumlah yang besar ke Thailand telah membawa kepada rampasan terbesar dan mengakibatkan kira-kira 15 orang yang disangka penyeludup ditembak mati di utara negara berkenaan sejak awal November lalu.

Rampasan itu berlaku di wilayah Chiang Rai pada malam semalam selepas pihak berkuasa menerima maklumat tentang penyeludup aktif di kawasan berkenaan, yang kemudiannya membawa kepada dua buah kereta yang diragui.

“Kami menemukan dan merampas beg yang kesemuanya mengandungi dadah jenis methamphetamine, kira-kira 18.76 juta pill,” kata komander Vichit Wongsang dalam satu sidang media yang disiarkan langsung dalam Facebook.

Beg berkenaan dilabelkan dengan ‘999’, satu rujukan berkaitan pemilik dadah Myanmar. Dia menambah bahawa dalam tempoh dua bulan kebelakangan, unit tentera utara telah merampas kira-kira 50 hingga 60 juta pil dalam jumlah keseluruhan.

Operasi dibuat kira-kira hampir dua minggu selepas polis di Chiang Rai membunuh seorang penyeludup dalam satu insiden tembakan, manakala dua yang lain sempat melarikan diri. – AFP