Saturday, October 5, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 lagi pelajar IBTE terima biasiswa Hengyi

    Gambar serahan Hengyi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Seramai 18 lagi pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah dianugerahi biasiswa oleh Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) pada satu majlis penandatangan biasiswa yang diadakan di The Empire Brunei.

    Hadir menyaksikan majlis penandatangan itu ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat.
    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

    Menandatangani bagi pihak Hengyi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai sementara pelajar menandatangani perjanjian mereka masing-masing dengan disaksikan ibu bapa mereka sebagai penjamin.

    Menurut kenyataan yang diterima hari ini, ia adalah kumpulan pelajar kedua yang menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Operator Joint Refinery yang ditubuhkan oleh Hengyi bersama IBTE dan Kolej Politeknik Petrokimia Lanzhou (LPP) yang membawa jumlah keseluruhan biasiswa yang dianugerahkan di bawah program ini kepada 48 pelajar.

    Sebagai sebahagian daripada program itu, 18 pelajar biasiswa itu telah menamatkan pengajian satu tahun mereka di IBTE Kampus Jefri Bolkiah dan pada masa ini menjalani latihan online di institusi itu bersama profesor-profesor dari LPP.

    Para pelajar kemudian akan menamatkan program tahun akhir mereka menerusi latihan semasa bekerja dengan Hengyi di Pulau Muara Besar di mana mereka akan berpeluang mendapatkan pengalaman bekerja sebenar yang sangat berharga dalam loji pengeluaran operasi itu.

    Sebaik saja pelajar menamatkan program tiga tahun itu, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa bersama Hengyi sebagai operator penapisan.

    Dr Haji Azman dan Chen Lian Cai bersama para pelajar yang dianugerahi biasiswa oleh Hengyi Industries Sdn Bhd ketika sesi bergambar ramai.
    Sesi penandatangan yang disaksikan oleh Dr Haji Azman dan Chen Lian Cai.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda