Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 maut bas-kereta api bertembung

    CHACHOENGSAO, THAILAND, 11 OKT – Kira-kira 18 orang terkorban manakala lebih 40 lagi cedera selepas sebuah bas yang membawa penumpang ke majlis keagamaan bertembung dengan kereta api barang di Thailand, hari ini, kata para pegawai.

    Kemalangan yang berlaku kira-kira 50km timur bandar Bangkok itu telah menterbalikkan bas dengan bumbungnya terbelah.

    Lebih 40 penumpang dikejarkan ke kemudahan perubatan berhampiran untuk dirawat, kata pengarah hospital wilayah, Sombat Chutimanukul.

    “Empat dalam keadaan kritikal dan lapan masih dalam pemerhatian” daripada 23 yang dimasukkan ke hospital, ujarnya kepada wartawan.

    Menjelang lewat petang, lebih 30 penumpang yang mengalami cedera ringan telah dibenarkan pulang, kata ketua polis tempatan.

    Para penyiasat memeriksa bas terbalik yang terlibat dalam pelanggaran dengan kereta api dekat stesen kereta api Khlong Kwaeng Klan di wilayah Chachoengsao, timur bandar Bangkok pada 11 Oktober. – AFP

    “Jumlah kematian seramai 18 orang,” ujarnya kepada AFP, menambah siasatan punca kemalangan masih diteruskan.

    Rakaman yang dikongsikan oleh jabatan kerajaan menunjukkan bas berada di hujung jalan dan memasuki landasan sebelum kereta api kargo biru melanggar sisi bas tersebut.

    “Saya terkesima apabila melihat pelanggaran itu…ia pandangan yang mengerikan,” kata Pitchitra Thingwichit, 34, yang tinggal dekat dengan landasan itu.

    “Semua penumpang merintih dan menangis meminta bantuan.”

    Gambar-gambar yang diambil oleh pekerja penyelamat menunjukkan logam berbonggol-bonggol bersama sampah, dengan mayat-mayat bergelimpangan di landasan serta barangan berselerak di sekitar kejadian.

    Pekerja kilang, Samruan Thongdee berkata dia sedang bersarapan pagi di kawasan berdekatan apabila terdengar bunyi pelanggaran itu.

    “Saya hubungi rakan saya untuk datang memberi bantuan” sebelum pekerja kecemasan tiba. “Saya berjaya mengeluarkan seorang wanita dari bas itu dan menaikkannya ke platform kereta api,” katanya yang berusia 57 tahun memberitahu AFP.

    Terdapat kira-kira 60 penumpang dalam bas sewa khas yang membuat perjalanan dari wilayah Samut Prakan menuju ke kuil di Chachoengsao itu, kata gabenor wilayah Maitree Tritilanond. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda