BEIJING, 6 Feb – Polis menahan seorang hari ini berhubung kebakaran di rumah urut kaki di China yang membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dan mencedera 18 yang lain, kata media.
Kebakaran meletus pada kira-kira pukul 5:26 petang semalam di timur wilayah Zhejiang, lapor agensi berita Xinhua. Ia dipadamkan dalam kurang dua jam.
Lapan orang terbunuh dalam kebakaran itu, sementara 10 yang lain meninggal dunia di hospital, menurut Xinhua.
Video yang disiar di laman sesawang media sosial Weibo menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul naik daripada rumah urut dan orang melompat keluar daripada tingkap tingkat kedua bangunan enam tingkat itu.
Serpihan kaca yang pecah bertaburan di lantai rumah urut. “Tingkap di tingkat ketiga dan keempat, di mana penghuni tinggal, juga pecah,” kata Beijing News, memetik seorang saksi.
Punca kebakaran masih tidak jelas, kata Xinhua.
Prosedur keselamatan kebakaran sering tidak dihiraukan di China, dengan pintu keluar dikunci dan laluan melepaskan diri disekat dalam bangunan di seluruh negara.
Tujuh orang terbunuh dalam satu kebakaran di pusat jagaan orang tua pada bulan lalu. – AFP