18 maut pusat akademi kungfu terbakar

BEIJING, 25 JUN – Seramai 18 orang maut dan 16 lagi cedera dalam kebakaran sebuah pusat seni mempertahankan diri di kawasan pedalaman Daerah Zhecheng di wilayah Henan, awal pagi tadi.

Media tempatan melaporkan kebanyakan mangsa terbabit adalah pelajar berumur antara tujuh hingga 16 tahun.

Kerajaan Daerah Zhecheng dalam satu kenyataan memaklumkan api telah berjaya dipadamkan dan pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian.

Insiden berlaku ketika 34 pelajar sedang berada di pusat berasrama terbabit, lapor Beijing Toutiao News yang memetik kakitangan kerajaan tempatan. – AFP