Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 pasangan orang asli dinikahkan di Gua Musang

    GUA MUSANG – Sebanyak 18 pasangan daripada kalangan masyarakat Orang Asli dinikahkan secara serentak dalam Program Perkahwinan Perdana yang diadakan di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini, baru-baru ini.

    Program perkahwinan itu dianjurkan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Isitadat Melayu Kelantan (MAIK).

    Pegawai Dakwah Kanan MAIK Siti Farahida Fauzi berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan usaha pelbagai pihak menganjurkan pelbagai program untuk kemajuan hidup masyarakat Orang Asli terutama yang tinggal di Kelantan.

    “Kebanyakan masyarakat Orang Asli ramai yang telah memeluk agama Islam justeru mereka sewajarnya mengamalkan ajaran agama sekaligus dapat membimbing anak-anak dengan pelbagai amalan yang dituntut oleh Islam.

    “Kita melihat pasangan masyarakat Orang Asli yang baharu bernikah itu cukup ceria kerana mereka dikumpulkan dalam satu majlis dan bernikah secara beramai-ramai,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup perkahwinan tersebut.

    Khairudin Mohamad (kiri) menikahkan pasangan Orang Asli pada Program Perkahwinan Perdana di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir. – Bernama

    Turut hadir Timbalan Naib Cancelor (Akademik Antarabangsa) UniSZA, Prof Dr Mahazirah Mohamad, dan Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

    Pernikahan itu dilakukan tiga jurunikah diketuai Pegawai Agama Jajahan, Khairudin Mohamad, Ab Hadi Abdullah dan Ahmad Nordin.

    Seorang peserta Orang Asli, Hadi Rudi, 23, berkata beliau teruja apabila dapat bernikah secara beramai-ramai dan dapat menghilangkan perasaan malu ketika berdepan dengan jurunikah.

    Beliau mengakui sudah ada niat berumah tangga dengan wanita pilihan tetapi tidak menyangka dapat menyambut hari bahagianya secara besar-besar bersama beberapa rakan-rakan yang lain.

    “Pada mulanya rasa gementar ketika berdepan dengan jurunikah, tetapi selepas selesai bernikah rasa seronok pula,” katanya.

    Seorang lagi peserta, Juwita Mohd Hafiz, 18, berkata beliau berasa seronok kerana dapat berkumpul dengan rakan sebaya untuk berkahwin secara Islam dan tidak menyangka diberi sambutan meriah.

    “Kami terima perubahan hidup cara Islam supaya kehidupan lebih berkat dan dapat melahirkan zuriat yang soleh suatu masa nanti,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda