SANDAKAN, 26 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 18 pendatang asing tanpa Izin (PATI) di dua tempat dijadikan transit dekat sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata kesemua PATI yang ditahan adalah lelaki berusia antara enam hingga 56 tahun berasal dari Basilan, Filipina.
Katanya serbuan pertama di kawasan kebun kelapa sawit tepi Sungai Darling Batu 10 pada pukul 3 pagi.
Seramai 15 PATI ditahan yang dipercayai baru mendarat di kawasan itu, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya tiga lagi PATI ditahan dalam serbuan kedua di kawasan Kuari Gum-Gum Kecil Batu 16 pada pukul 6.20 pagi. Mohd Yazib berkata siasatan awal ke atas kesemua individu lelaki yang ditangkap mendedahkan bahawa kesemua mereka menaiki kapal (kumpit) dari Basilan menuju ke Pulau Bakungan Besar Filipina.
Katanya tambang yang dikenakan oleh setiap mereka adalah sebanyak RM350 hingga RM750 (5,000 Peso hingga 10,000 Peso).
Menurutnya tambang setiap perjalanan dibayar kepada seorang ejen yang akan mengatur dan mengurus sehingga sampai ke destinasi yang dituju.
Beliau berkata kesemua individu lelaki tersebut mengaku secara lisan menaiki bot laju dari Pulau Bakungan Besar, Filipina.
Katanya kesemua individu lelaki yang ditahan itu ingin mencari peluang pekerjaan di Sabah kerana di negara mereka susah mencari pekerjaan dan ada juga yang ditawarkan kerja di sektor pertanian dan buruh kasar. – Bernama

































