18 pelajar cemerlang diraikan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seramai 18 orang lagi anak-anak yatim yang terpilih untuk menerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA (AIPC-DANA) 2020 telah menerima anugerah masing-masing pada majlis yang berlangsung di di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Ini merupakan kumpulan kedua yang menerima anugerah mereka setelah sembilan orang penerima diraikan pada majlis penyampaian yang diadakan semalam, dalam mematuhi arahan dan garis panduan penjarakan sosial dan mengelakkan perkumpulan ramai yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penganugerahan kepada para pelajar pada majlis hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA).

Majlis penganugerahan kali ini adalah bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang mana para penerimanya ialah Dayang Nur Syarafana binti Azami, Dayang Nur Suryani binti Abdul Rahim, Dayang Adriana Batrisyia @ Dania Farwizah binti Abdullah Mohd Suhaimi, Dayang Nur Syazwatul Batrisyia binti Junaidi, Dayang Aimi Dania binti Hasme, Awang Muhammad Hazim bin Adam, Dayang Nurhazimah binti Yahaya, Dayang Nur Syahirah Amani binti Muhammad Nur Ariffin, Dayang Elyanna Nawi, Dayang Hani Basyirah binti Tuah, Awang Muhammad Wali bin Alidi, Dayang Zulaikha Zakirah binti Mustapa, Dayang Nur Khairina Arifah binti Haji Azreem, Nicky Kuan Ming Fui, Awang Muhammad Haikal Zakwan bin Muhammad Zainul Ariffin, Awang Muhamamd Nur Ashraf bin Awang Haji Talib, Awang Mohammed Samsul Ali bin Abdullah @ Hakim dan Awang Mohammad Aqiel Yadiy bin Ishak.

Setiap seorang menerima sijil penghargaan, satu unit komputer berserta mesin pencetak dan pakej kemudahan belajar selama dua tahun dalam bentuk wang tunai bernilai $400.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan Yayasan.

AIPC-DANA pada tahun ini merupakan kali ke-13 diadakan dengan tujuan utamanya adalah sebagai pendorong kepada anak-anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dan sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menyampaikan Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA (AIPC-DANA) 2020 kepada salah seorang pelajar pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama penerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2020 di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), kelmarin.