18 pelajar UNISSA lawat Empire

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kira-kira 18 orang pelajar lepasan ijazah Sains Halal dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan lawatan akademik ke The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Lawatan yang diketuai oleh Ketua Program Lepasan Ijazah di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Dr Zeiad Amjad Abdulrazzak Aghwan itu berobjektif untuk meningkatkan pengetahuan dan latar belakang pelajar serta meneroka lebih lanjut mengenai aktiviti dan keperluan pematuhan syariah hotel di bawah perkhidmatan Pelancongan Halal.

Menurut kenyataan yang diberikan, semasa lawatan itu, para pelajar juga melihat lebih dekat perkhidmatan-perkhidmatan berkualiti tinggi yang diberikan oleh pengurusan dan kakitangan hotel berkenaan kepada pelanggan bagi mengekalkan kesucian Islam.

Selain itu, para pelajar juga melihat jumlah besar pelancong menginap di hotel berkenaan yang menunjukkan perkembangan pelancongan halal di negara ini.

Gambar ramai Dr Zeiad Amjad Abdulrazzak Aghwan bersama pelajarnya dan staf pengurusan The Empire Hotel & Country Club.