18 saudara baharu wanita tamat Skim Bimbingan Lanjutan II

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 SEPT – Seramai 18 orang saudara baharu wanita di Daerah Belait telah berjaya menamatkan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan II kohort ke-37 dan diraikan pada majlis penutup yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Daerah Belait, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengurus Institut Wanita (WI) Cawangan Daerah Belait, Hajah Halimah binti Abdul Latif yang dialu-alukan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir.

Turut hadir ialah Pembantu Ketua Unit Dakwah, Hajah Salimah binti Haji Hassan serta beberapa orang guru dan kakitangan pusat berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat yang mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara baharu kerana berjaya menamatkan kursus selama 14 hari berkenaan yang bertujuan untuk menambah pengetahuan dan akhlak Islam.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada saudara-saudara baharu yang diraikan oleh tetamu kehormat.

Hajah Halimah turut menyampaikan plak kepada tiga saudara baharu yang mencatatkan markah tertinggi dalam peperiksaan akhir.

PDI Daerah Belait dalam kenyataannya mengongsikan bahawa seramai 50 orang telah memeluk agama Islam setakat ini tahun ini, berbanding 64 orang sepanjang tahun lalu.

Gambar ramai saudara-saudara baharu bersama tetamu kehormat dan kakitangan PDI Daerah Belait pada majlis penutup berkenaan.