18 tetamu majlis kahwin maut ditembak

ABUJA, 21 JULAI – Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di majlis perkahwinan di Kaduna, utara Nigeria, kelmarin dan menyebabkan 18 orang maut.

Pihak berkuasa berkata lelaki bersenjata itu dipercayai datang dengan menunggang motosikal dan masuk ke kampung Kukum-Daji yang terletak di daerah Kaura.

“Lelaki terbabit menembak mati 18 individu yang berada di majlis berkenaan, selain mencederakan 30 lagi lainnya.

“Majoriti mangsa adalah lelaki muda dengan 15 daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Tiga yang lain meninggal dunia di hospital,” kata Ketua Pentadbiran Daerah, Bege Katuka Ayuba kepada AFP.

Dalang di sebalik insiden itu masih belum dikenal pasti tetapi lokasi kejadian dipercayai menjadi kawasan konflik antara puak pengembala Muslim Fulani dan petani etnik Kristian.

Jurucakap polis, Mohamed Jalinge mengesahkan serangan tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

“Terdapat laporan mengenai kehilangan nyawa dalam serangan berkenaan tetapi kita tidak mempunyai angka sebenar lagi,” katanya. – AFP