LOS ANGELES, 19 MEI – Seramai 180 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menghidap hepatitis akut setakat pada Rabu, memetik kemas kini terbaharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Jumlah baharu itu adalah peningkatan sebanyak 71 kes berbanding 109 kes yang dilaporkan CDC pada 5 Mei, lapor Xinhua.
Namun, tiada kematian dilaporkan sejak Februari 2022 dan pesakit kanak-kanak yang memerlukan pemindahan hati telah menurun daripada 15 peratus kepada sembilan peratus sejak 5 Mei.
Menurut CDC, masih belum dapat dipastikan punca penyakit ini yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak. – Bernama