180 warga IBTE SBC sertai kempen bersih pantai LLRC

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 28 OGOS – Lebih 180 orang peserta yang terdiri daripada pelajar serta kakitangan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC), Seria telah menyertai kempen membersihkan pantai anjuran Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), hari ini.

Kempen yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada aktiviti sihat dan bermanfaat LLRC itu bertujuan untuk memastikan pesisir pantai sentiasa bersih bagi pengunjung kelab dan premisnya.

Perwakilan pelajar di IBTE SBC yang sempat ditemui, Awang Mohammad Khairol Harni bin Haji Mohd Gani berkata, kunjungan mereka ke kawasan berkenaan bukan sahaja untuk membantu membersihkan pantai tetapi juga mengeratkan silaturahim bersama para peserta sementara menanamkan pemikiran menjaga alam sekitar.

“Adalah penting untuk menjaga persekitaran kita, yang termasuk pantai-pantai Brunei dan sementara beberapa pantai kelihatan dijaga, sebilangannya tidak, sebab itulah menjalankan dan menyertai kempen-kempen pembersihan seperti ini penting,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan harapan bahawa kempen berkenaan akan menggalakkan lebih banyak aktiviti seumpamanya diadakan, bukan sahaja di pesisir pantai malah tempat-tempat penting di mana orang ramai berkumpul, untuk memastikan semua orang dapat menikmati keindahan pemandangan.

Sepanjang kempen itu, para peserta berjalan sejauh 400m keseluruhannya dan mengumpul lebih 187 beg sampah.

LLRC merancang untuk terus mengadakan kempen berkenaan sebagai sebaha-gian daripada aktiviti mingguan mereka yang akan diadakan setiap Jumaat.

Antara peserta yang menyertai kempen kebersihan pantai yang dianjurkan oleh LLRC di Seria, kelmarin.