Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    18,000 terjejas akibat ribut

    NADI, 11 April – Lebih 18,000 orang masih berada di pusat pemindahan di Fiji selepas ribut tropika Keni melanda negara Pulau Pasifik Selatan itu dengan hujan lebat dan angin kencang yang membawa kemusnahan semalam.

    Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan Fiji (NDMO) mengumumkan hari ini bahawa kebanyakan mangsa yang dipindahkan masih berada di pusat-pusat pemindahan di bahagian barat negara itu dan hanya akan kembali ke rumah mereka apabila keadaan telah selamat.

    Pengarah NDMO, Anare Leweniqila berkata kesan ribut tropika Keni di Fiji masih tidak diketahui dan tumpuan utama mereka pada masa ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada orang ramai yang terjejas.

    Penilaian terhadap kerosakan sedang dijalankan di bahagian barat dan kawasan-kawasan lain yang terjejas di negara pulau itu. Ia turut melaporkan bahawa NDMO berharap untuk menghantar sebuah pesawat bagi menjalankan penilaian kerosakan di pulau Kadavu dan Ono-i-lau.

    Taufan tropika Keni yang melanda Pulau Kadavu di Fiji secara berterusan telah membawa kemusnahan kepada kediaman dan perladangan, dengan angin kencang yang boleh menerbangkan rumah-rumah, menumbangkan pokok-pokok dan menenggelamkan bot-bot di sebelah selatan pulau itu.

    Taufan Keni turut menyebabkan kematian seorang lelaki di sebuah bandar di barat Fiji, Ba, ketika dia cuba menyelamatkan rumahnya dengan mendirikan beberapa blok dan akhirnya terjatuh dari atap rumahnya ketika hujan lebat dan angin kuat.

    Buat masa sekarang, 90 batang jalan raya di Fiji kekal ditutup akibat kerosakan yang dibawa oleh hujan lebat dan banjir, sementara kesemua sekolah di bahagian barat dan Pulau Kadavu yang digunakan sebagai pusat pemindahan turut ditutup.

    Keni merupakan ribut tropika yang kedua melanda Fiji dalam tempoh lebih seminggu selepas ribut tropika Josie, yang telah meragut enam jiwa pada cuti hujung minggu Easter. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda